Kane ‘Terlalu Letih’ Menjelang Piala Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Pengurus Tottenham, Antonio Conte berkata Harry Kane keletihan hanya seminggu sebelum dia mengetuai England ke Piala Dunia.

Conte menyalahkan kekurangan pilihan dan terus menggunakan Kane ketika Spurs tewas 2-0 pada Piala Liga menentang Nottingham Forest awal pagi tadi.

Kapten England itu digantikan selepas sejam tetapi dia memulakan aksi dalam semua 21 perlawanan buat Tottenham dalam semua kejohanan musim ini.

Conte ketika ini tanpa Son Heung-min yang mengalami retak soket mata manakala Richarlison dan Dejan Kulusevski baharu pulih daripada kecederaan.

“Dia sangat letih. Semalam kami ada latihan ringan, sangat ringan dan pada satu ketika dia perlu berhenti untuk memulihkan tenaga,” kata Conte.

“Saya ulangi dia OK, hanya keletihan, tapi ia normal kerana Harry bermain setiap perlawanan.

“Apabila anda ada pemain sepertinya, sukar untuk tidak menggunakannya.”

Bagi memberikan ruang pada Piala Dunia yang berlangsung pertengahan musim, peringkat kumpulan kejohanan kelab Eropah dipendekkan kepada dua bulan.

Ketika Spurs berdepan Leeds Sabtu ini, mereka sudah bermain 13 perlawanan dalam 42 hari sebelum rehat untuk Piala Dunia.

“Harry Kane adalah pemain yang sangat bagus,” kata Conte ketika dia berterima kasih kepada pemain yang tidak menarik diri daripada perlawanan untuk aksi bersama negara mereka.

“Tapi bukan hanya dia, ia sama bagi (Pierre-Emile) Hojbjerg, (Rodrigo) Bentancur, (Ivan) Perisic, (Eric) Dier.

“Kami berdepan situasi yang buruk dalam aspek kecederaan dan kami tiba di penghujung dengan kesukaran. Kini kami perlu cuba berehat dan memulihkan tenaga.”

Sumber : BERITA HARIAN