Apa Ertinya berserah diri kepada Takdir Allah?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Semasa usia dini, kita belajar bahawa kita memerlukan orang lain untuk bergantung harap. Kita memerlukan ibu untuk memberi kita makan, ayah untuk menghantar kita ke sekolah, rakan-rakan membantu kita dalam pelajaran dan sebagainya.

Namun menjejaki usia dewasa, berlaku perbezaan yang sangat total. Kita berada dalam situasi di mana kita perlu berhadapan masalah sendirian bahkan menentukan pilihan sendiri juga secara sendirian. Justeru, kepada siapakah harus kita meletakkan harapan dan menyerahkan diri?  Sebagai seorang Muslim, perlunya kekuatan tawakkal atau berserah diri kepada Allah kerana tatkala dalam situasi apapun apatah lagi ketika menghadapi keadaan yang berat.

Buya Hamka, Ulama dari tanah seberang menyatakan bahawa belum berarti pengakuan iman kalau belum tiba puncak tawakal. Maka apabila seorang mukmin telah bertawakal, berserah diri kepada Allah SWT, terlimpahlah ke dalam dirinya sifat aziz (terhormat,mulia) yang ada pada-Nya.

Persoalannya apa yang dimaksudkan dengan berserah diri sepenuhnya dengan ketentuan Allah, dan bagaimana untuk kita mengamalkannya dalam kehidupan yang sebenar? Jawapannya boleh dilihat dalam tiga perkara berikut:

#1- Menerima realiti keadaan

Kunci utama untuk berserah pada ketentuan Allah SWT ialah menerima perubahan keadaan yang berlaku. Apa yang perlu kita fahami, memang perjalanan hidup kita tak seindah perancangan. Dan apabila situasi berubah, perancangan kita juga berubah.

Namun apabila kita pantas mengadaptasi dan menerima kenyataan semakin mudah untuk kita bergerak ke hadapan dan melepaskan diri dari perkara-perkara yang menghalang. Melepaskan waktu-waktu lalu, bermakna kita bersedia mewarnai episod hari-hari baru dengan hal-hal baik dan mulia mengikut apa yang Allah perintahkan.

Dalam erti kata lain, kita juga turut memahami kenyataan bahawa dunia ini hanya sementara dan perubahan menuntun kita untuk melakukan kebaikan dan mengukuhkan iman.

Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 36:

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

#2- Percaya pada qada’ dan qadar

Selepas penerimaan wujudya kepercayaan. Iaitu kepercayaan yag mendalam akan takdir yang Allah telah susunkan buat kita iaitu susunan qada’ dan qadar yang juga merupakan salah satu rukun iman yang wajib kita imani.

Apabila kita sudah menerima qada’ dan qadar Allah, kita akan semakin yakin bahawa Allah ialah sebaik-baik perancang. Dan Allah akan merahmati kita dengan keberkatan di dunia dan di akhirat.

Berdasarkan pandangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, takdir terbahagi kepada dua.  Pertama taqdir mubram manakala kedua adalah taqdir muallaq.

  1. Taqdir Mubram merupakan takdir yang sudah ditulis dalam Lauhul Mahfuzh. Tidak akan ada pengurangan, penambahan, atau pengubahan pada takdir ini. Ini adalah ketentuan Allah Swt. Contohnya, kehidupan, kematian, dan keturunan.
  • Taqdir mu’allaq. Taitu takdir yang sudah ditetapkan tetapi boleh berubah mengikut kehendak Allah SWT, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia.

Apabila kita memahami bahawa ada takdir yang sudah ditentukan dan ada takdir yang boleh berubah mengikut asbab-asbab yang dilakukan oleh manusia, maka ada perkara yang perlu kita redha dan ada yang perlu kita usahakan. Sesungguhnya apa yang manusia usahakan, pasti akan dikabulkan jika ia memberi kebaikan.

#3- Berpaut pada jalan ikhtiar

Berserah pada Allah bermaksud kita akan lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan. Penting untuk kita ingat bahawa redha dengan ketentuan Allah tidak bermakna kita patut berputus asa dan hanya bergantung pada Allah tanpa berusaha.

Sebaliknya, kita perlu ada inisiatif untuk berusaha dan percaya bahawa apa sahaja yang berlaku ada hikmahnya kerana tiada perkara yang berlaku tanpa keizinan Allah Ta’ala.

Dalam Surah Ath-Thalaq ayat ketiga yang bermaksud : “Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.”

Dalam sebuah hadis yang disabdakan Nabi Muhammad SAW Riwayat Imam Ahmad:

“Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.”

Hadis ini memberi pengajaran bahawa Allah SWT mengurniakan rezeki hatta kepada binatang yang berusaha untuk mencari makanan. Apalagi apabila manusia yang diangkat sebagai khalifah mencari rezeki, pasti Allah akan memudahkan.  

Kesimpulannya

Semoga setiap inci kehidupan yang kita lakukan adalah dengan panduan Allah SWT dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah SWT.