Polis Kerah 400 Anggota Kawal Aksi TFC-Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Polis menugaskan 400 pegawai dan anggota semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) bertemu Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMMZA), Gong Badak, malam ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahim Md Din berkata, kawalan ketat di pintu masuk dan dalam kawasan stadium akan dilakukan bagi memastikan penonton tidak membawa masuk sebarang barangan terlarang ke dalam stadium.

Katanya, antara barangan yang dilarang adalah mercun, bunga api, suar, topi keledar, botol air, botol kaca, tin minuman, laser, mancis dan pemetik api.

“Barangan lain yang dilarang adalah objek dan senjata tajam seperti besi, kayu, pisau, parang, gunting dan sebagainya.

“Payung, tongkat, dron, sebarang alat pembesar suara atau alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising serta minuman keras juga tidak dibenarkan membawa masuk ke dalam stadium.

“Pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan petugas sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, penyokong kedua-dua pasukan juga diingatkan supaya tidak melakukan provokasi, perhimpunan, perarakan, pergaduhan, merusuh atau nyanyian dalam bentuk sindiran dan hinaan dan sebagainya yang boleh menimbulkan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

“Justeru, penonton dan penyokong kedua-dua pasukan memberi kerjasama dan mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) terhadap kawalan keselamatan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN