KUANTAN: Kenderaan ringan dari Mersing menghala ke Kuantan yang menggunakan laluan utama berhampiran Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin akan dilencongkan bermula 7 pagi hingga 2 petang esok, sempena hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata kenderaan berat di laluan sama dan kenderaan dari Kuantan ke Mersing pula masih dibenarkan melalui jalan raya utama, namun dengan kawalan anggota polis trafik bertugas.
Lencongan juga akan dibuat membabitkan kenderaan ringan dari Mersing ke Kuantan iaitu Jalan Kampung Bahagia bersebelahan Masjid Tengku Mahkota Abdullah dan simpang di sebelah Petronas Jalan Raya Utama dan jalan keluar di Jalan Kampung Bahagia Dua selepas Pejabat Majlis Daerah Rompin.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan yang dikeluarkan dan merancang perjalanan awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 DUN Tioman diadakan pada 7 Disember, dengan esok sebagai hari penamaan manakala 3 Disember, hari pengundian awal.
Proses pengundian DUN Tioman sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi, hari pengundian itu.
Ia sepatutnya membabitkan pertembungan lima penjuru antara penyandang kerusi itu Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang mewakili Barisan Nasional (BN), Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk pilihan raya itu mengandungi seramai 28,465 pemilih, terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Sumber: BERNAMA