Telur Kurang di Pasaran, Pemborong Terpaksa Catu Bekalan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Bekalan telur ayam di negeri ini yang masih meruncing memaksa beberapa pemborong mencatu jualan bagi membolehkan pengguna tidak terputus bekalan.

Tinjauan mendapati beberapa pemborong hanya membuka premis dua atau tiga kali seminggu berikutan kekurangan bekalan.

Malah, ada antara pemborong tidak menjual telur ayam secara runcit, sebaliknya hanya dibekalkan secara borong kepada pasar raya.

Berbeza syarikat pemborong beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai tiga cawangan di negeri ini, yang tetap meneruskan jualan secara runcit bagi memenuhi permintaan pengguna.

Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng, berkata untuk jualan runcit, pihaknya membuat ketetapan hanya mengehadkan lima papan mengandungi 150 biji telur bagi setiap pelanggan.

“Setakat ini kami hanya mampu membekalkan 3,000 papan mengandungi 90,000 biji telur untuk tiga premis iaitu di Cabang Tiga, Gong Badak dan di bandar raya Kuala Terengganu.

“Pengurus di tiga cawangan itu sudah diminta untuk tidak menjualnya secara borong, sebaliknya hanya secara runcit,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, tinjauan di premis jualan syarikat berkenaan mendapati bekalan telur ayam kehabisan sejak semalam, dengan kali terakhir dimaklumkan menerima 1,000 papan mengandungi 30,000 biji Isnin lalu.

Bagaimanapun, bagi memastikan bekalan sentiasa ada setiap hari sebelum stok bekalan baharu diperoleh, pekerja syarikat pemborong itu menyimpan antara 1,000 dan 1,500 papan untuk jualan secara harian.

“Jika diikutkan, bekalan 3,000 papan mengandungi 90,000 biji telur ayam yang dibekalkan Isnin lalu mampu dihabiskan dalam hanya lima jam.

“Namun kami terpaksa menyimpan untuk jualan secara harian sebelum bekalan baharu diterima,” katanya mengesahkan pengguna yang datang mendapatkan bekalan adalah pelanggan yang sama.

Sumber : BERITA HARIAN