Malaysia melakarkan sejarah baru, apabila Parlimen Malaysia masih lagi tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Rentak demokrasi Malaysia semakin hari semakin unik dan berbeza dengan 10, 20 tahun yang lepas. Hari ini merupakan hari kelima setelah tamat pilihan raya, namun Malaysia masih belum memutuskan siapa Perdana Menteri kerana setiap parti tidak mencukupi mana-mana kerusi untuk membentuk kerajaan.
Namun dengan perubahan gelombang PRU yang berlaku hari ini, masih lagi muncul anasir-anasir negatif di kalangan pengundi yang menyebarkan sentimen buruk di media sosial. Pengundi dari parti masing-masing merendahkah pihak lawan dengan pelbagai stigma negatif.
Ukhuwwah kita lebih besar berbanding politik kepartian yang kita beri penekanan setiap 5 tahun sekali. Selepas pilihan raya kehidupan perlu diteruskan seperti biasa, dan kita akan perlu tetap menjalankan kehidupan kita seperti sebelum ini maka tidak ada manfaat jika kita bergaduh kerana perbezaan parti.
Islam menekankan penjagaan hubungan atau ukhwah sesama Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seseorang mukmin untuk memboikot saudaranya lebih dari tiga hari.”
Elakkan nyala api perkauman
Keturunan dan bangsa adalah merupakan salah satu tqadir Mubram, iaitu tadkdir yang telah ditetapkan Allah tanpa boleh diubah oleh manusia.
Perbezaan bangsa dan keturunan ini usah dijadikan punca pergaduhan kerana bukan itu tujuan kita diciptakan bahkan dianjurkan untuk kita berdamai dan berkenal-kenalan, mengambil manfaat antara satu sama lain. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat ke-13:
Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Bagi membawa sentimen perkauman dalam media sosial, ada juga yang menunggang isu 13 Mei bagi mencipta satu persepsi buruk dan mengapi-apikan keadaan. Mengapi-apikan isu dan menanamkan kebencian bukanlah satu perkara yang baik, kerana ia boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar.
Peristiwa seperti serangan Kapitol di Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021 berlaku apabila para penyokong Trump berkumpul untuk himpunan sehingga menjadi untuk membatalkan keputusan pilihan raya. Peristiwa ini andai diulang-ulang, dibimbangi mampu mencetus ‘serangan’ sama seperti serangan Kapitol dan mengulangi semula peristiwa 13 Mei yang mana ia memberi impak yang sangat buruk dan memakan masa untuk dipulihkan.
Umat Islam Tanpa Mengira Parti perlu paparkan imej Islam yang baik
Parti apa pun yang diwakili ia bukan tiket untuk kita rasakan kita lebih maksum atau untuk kita rasa lebih intelektual dan bijak berbanding mereka yang memilih parti-parti lain untuk disokong. Apatah lagi untuk bersikap takfiri iaitu mengkafirkan orang lain sesuka hati.
Demokrasi memberikan hak untuk rakyat memilih, justeru setiap orang diberikan kebebesan untuk memilih pemimpin yang dilihat mampu memimpin dengan adil dan saksama.
Kita juga perlu memahami bahawa politik kepartian adalah salah satu cabang politik bagi mencapai maslahat yang lebih besar. Politik kepartian bukan segala-galanya tanpa dinafikan pengurusan pentadbiran mengikut demokrasi memerlukan politik kepartian. Berbeza pendapat tidak apa, asalkan tidak melampaui batas sesama makhluk.
Berkata Sheikh Abdullah Ben Bayyah:
من مقاصد الشريعة تحسين صورة الإسلام
“Sebahagian Maqasid al-Shari’ah adalah memelihara kecantikan imej Islam”.
Di atas parti, ada yang lebih besar iaitu Islam. Sebagai Muslim, menjaga imej sebagai Muslim sangat penting dalam semua keadaan kerana ia menunjukkan apa nilai yang dibawa Islam.
Imej Islam adalah manifestasi letak lahiriah yang terhasil melalui anggota batiniah. Imej yang terhasil dengan akhlak yang baik, akan menghasilkan pergerakan anggota yang baik seperti lidah yang berhati-hati untuk berkata-kata, tangan yang berhati-hati untuk melakukan tindakan, kaki yang berhati-hati untuk melangah.
Dengan menjaga imej Islam, ia akan memberi gambaran yang baik terhadap Non-Muslim dan mereka akan menilai Islam sendiri berdasarkan tindakan umat Islam. Justeru, penyokong parti apa pun kita wajiblah kita menjaga imej umat Islam.
Pemimpin yang terpilih perlu buat kerja
Hari ini, kita masih menantikan siapakah bakal pemimpin yang akan bekerja untuk rakyat selama 5 tahun. Pemimpin yang terpilih, bukanlah satu kebanggaan semata-mata, tetapi ia menanggung beban yang perlu dipikul dengan banyak. Rakyat juga perlu teruskan menjadi ejen semak dan imbang buat pihak pemimpin agar suara rakyat terus didengar dan keadilan dapat dilaksanakan.
Dalam konteks kenegaraan, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik sebagai pemimpin iaitu semasa memimpin Madinah. Baginda telah mengasaskan Piagam Madinah, yang mana merupakan perlembagaan bertulis terawal di dunia yang mengandungi 47 fasal. 23 fasal adalah berkaitan peranan sesama umat Islam (Muhajirin dan Ansar) dan 24 fasal lagi adalah berkenaan hubungan umat Islam dengan bukan Islam (Yahudi). Perlembagaan ini telah berjaya menyatukan Madinah tanpa mengira agama, kabilah dan warna kulit.
Justeru siapa pun yang memimpin, perlu bekerja keras dalam menyatupadukan Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa dan serta menunaikan hak rakyat dengan adil. Malaysia perlu menjadi sebuah negara demokrasi yang sihat berteraskan Islam.
Rasulullah SAW berdoa mengenai pemimpin yang mafhumnya: “Ya Allah, sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia membuat susah terhadap umatku, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia sayang pada umatku, maka sayangilah dia.” (Hadis riwayat Muslim)