Padah cemburu, lelaki warga emas maut ditikam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang lelaki warga emas yang ditikam oleh seorang lelaki, maut kerana disyaki mempunyai hubungan sulit bersama isterinya, di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa yang berusia 71 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Serdang pada jam 11.05 malam tadi.

Beliau menyatakan bahawa pada awalnya polis menerima laporan daripada pihak hospital yang menerima seorang pesakit cedera parah akibat ditikam, pada jam 6.29 petang semalam.

“Polis dimaklumkan mangsa dihantar ke hospital oleh seorang rakan wanitanya dan mangsa sempat memaklumkan kepada petugas hospital bahawa dia diserang dan ditikam di kawasan pasar raya terbabit.

“Pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada paru-paru kanan akibat ditikam dengan senjata tajam, selain kesan tikaman pada peha dan bahu kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa kemudian ditempatkan di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Serdang dan menggunakan alat bantuan pernafasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.05 malam.

“Berikutan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah lokasi di ibu negara pada jam 1.35 pagi tadi dan isteri suspek yang berusia 51 tahun di Hospital Serdang untuk membantu siasatan.

“Hasil soal siasat, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa dan punca kejadian kerana suspek marah disebabkan isterinya ada hubungan intim dengan mangsa.

“Suspek mendakwa ketika kejadian, isterinya sedang berdua-duaan bersama mangsa dalam sebuah kenderaan di lokasi kejadian,” katanya.

Jelas Mohd Zaid lagi, polis turut merampas beberapa barangan termasuk kenderaan milik mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek yang mempunyai kesan darah dan resit pembelian pisau untuk siasatan.

“Lelaki dan isterinya itu kini direman tujuh hari sehingga 2 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa maklumat dari saksi kejadian atau orang ramai boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sumber: BERITA HARIAN