KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bagi mengagihkan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri ini.
Pengarah JKM Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin memaklumkan melalui kerjasama itu, JKM membekalkan empat jenis barangan kepada JBPM negeri untuk diberikan terus kepada mangsa banjir ketika proses penempatan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagi tujuan itu, beliau berkata, pihaknya menyediakan 500 selimut serta tuala, 600 kit minuman dan makanan ringan, serta 750 unit makanan sedia untuk dimakan.
“Melalui kerjasama strategik itu, kita dapat memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan selesa, terutama ketika proses pemindahan ke PPS yang mungkin mengambil masa agak panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Kerjasama Strategik JKM-JBPM Pahang Bagi Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/23 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Pahang, di sini, semalam.
Yang turut hadir Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, dan Pegawai Operasi JBPM Pahang, Mohd Fadlynizam Mohd Razali.
Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, barangan keperluan asas dibekalkan JKM akan diserahkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terpilih di negeri ini.
“Anggota Pasukan Gerak Cepat (PGC) akan bertanggungjawab mengagihkan barangan bantuan terbabit kepada mangsa banjir. Kita akan memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan selesa,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN