Guna Dadah: Farid Kamil Didenda RM5,000, Terlepas Hukuman Penjara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari, terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir oleh Farid Kamil, 41, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Bagaimanapun, Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas Farid Kamil, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

Kamaludin dalam keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Beliau berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan hukuman berkenaan setimpal dengan kesalahan dilakukan ketika itu serta tiada aspek pemberatan, contohnya tidak ada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung pada fakta kes itu.

“Dalam kes ini, kami mendapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu, serta memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan bawah AADK dikekalkan,” katanya.

Yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Sumber : BERITA HARIAN