DOHA – Pemain Australia nyata tidak dapat menyorokkan rasa hormat mereka terhadap Lionel Messi ketika mereka sedang dalam persiapan bertemu Argentina untuk pertembungan 16 terbaik, awal pagi Ahad ini.
Meskipun begitu, mereka percaya pasukan itu mempunyai kemampuan untuk membuat kejutan ke atas kuasa besar dari Amerika Selatan itu.
Australia mengejutkan Denmark dengan kemenangan 1-0 pada Rabu untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia dengan menyertai pemenang Kumpulan D, Perancis dan ia adalah sejarah buat mereka sejak kali terakhir pada 2006.
Skuad berkenaan bagaimanapun memandang tugas kali ini di Stadium Ahmad bin Ali sebagai paling sukar apatah lagi mereka bakal bertemu Argentina yang berada dalam prestasi terbaik.
“Saya sentiasa menyukai Messi dan saya fikir dia adalah yang terhebat apabila dapat bermain sekali,” kata pemain pertahanan, Milos Degenek.
“Namun, ia bukan satu penghormatan dapat bermain dengannya kerana dia juga manusia, seperti mana kita semua.
“Ia satu penghormatan dapat bermain dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia. Itu satu penghormatan secara asasnya. Sama ada kami bertemu Argentina atau kami bertemu Poland, ia masih menjadi satu penghormatan untuk mewakili Australia dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia.”
Mat Leckie yang memastikan Socceroos menewaskan Denmark, menjadi pemain Victoria pertama menjaringkan gol di Piala Dunia dan akan memastikan dia bersama Maty Ryan memecahkan rekod penampilan sepanjang zaman Australia di Piala Dunia ketika menentang Argentina nanti.
“Ia permainan 90 minit, mungkin 120 dan ia perlawanan kalah mati,” kata Leckie.
“Tiada siapa jangkakan kami berada di sini, kami (boleh) memberikan segala-galanya kepada mereka dan tidak ada sebarang tekanan buat kami.
“Kami tidak mempunyai sebarang tekanan, kami hanya perlu menikmati detik itu. Tiada siapa jangkakan yang kami akan menang. Jadi mari kita membuat kejutan.”
Sumber : BERITA HARIAN