Bekalan Ikan, Sayur, Gula Berkurangan di Ibu Kota

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Cuaca tidak menentu seperti hujan dan banjir, menyebabkan peniaga barangan keperluan harian kini resah akibat kesukaran memperoleh bekalan bagi memenuhi keperluan pelanggan masing-masing.

Barangan basah keperluan harian yang paling terjejas ketika ini adalah bekalan ikan segar dan sayur-sayuran.

Perkara ini berlaku disebabkan nelayan tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan, manakala pekebun tidak dapat memetik sayur atau tanaman rosak akibat cuaca.

Tinjauan BH di Pasar Chow Kit di ibu kota, mendapati harga ikan segar mengalami kenaikan harga di antara RM1 hingga RM2 sekilogram, manakala harga sayur tempatan pula mengalami kenaikan di antara RM2 hingga RM3 sekilogram.

Peniaga ikan, Pengki Fernando, 26, mendakwa sejak seminggu lalu, bekalan ikan segar yang diterimanya mula terganggu dan kebanyakan bekalan yang ada ketika ini hanyalah ikan sejuk beku.

“Buat masa sekarang kebanyakan harga ikan masih dikekalkan kerana kami menjual ikan yang dibekukan. Jika kami menaikkan harga, ia tidak adil kepada pelanggan kerana ikan beku ini apabila airnya cair tidak dapat bertahan lama dan cepat busuk.

“Kami memang menerima ikan yang sudah dibekukan daripada pembekal. Pembekal ada maklumkan bekalan ikan yang diperoleh tidak banyak disebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut apabila hujan menjadi terlalu lebat.

“Buat masa ini semua pengguna terpaksa bersabar sedikit sementara menunggu situasi kembali stabil,” katanya.

Penjual sayur, Yau Heng, 42, berkata harga sayur tempatan seperti bendi, sawi dan kangkung mengalami kenaikan, manakala sayuran import seperti kobis, lobak merah dan brokoli masih bertahan.

“Kami kini mengambil bekalan sayur daripada Vietnam kerana lebih mudah didapati berbanding sayuran tempatan. Buat masa sekarang agak sukar untuk kami dapatkan sayur tempatan kerana cuaca hujan ini pekebun tidak dapat memetik sayur.

“Jika kami ambil bekalan sayur tempatan sekalipun, harganya agak mahal dan jika tidak dibeli oleh pengguna, kami tidak boleh simpan sayur tersebut untuk tempoh yang lama.

“Sayur yang kami dapat daripada Vietnam pula walaupun mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini tetapi kualiti sayurannya seolah-olah baru sahaja dipetik,” katanya.

Yau berkata, tumpuannya ketika adalah menjual sayur import kerana harga yang lebih berpatutan kepada pengguna.

Bagi pemilik kedai runcit, Said Muhammad Mydin Shah, 48, mendakwa gula pasir adalah antara barang keperluan yang semakin sukar diperoleh.

“Sejak pilihan raya umum yang lalu, bekalan gula sangat susah untuk kita dapatkan. Dahulu saya terima bekalan empat kotak sehari, sekarang saya hanya mendapat satu kotak sahaja untuk sehari. Saya tidak melakukan sebarang catuan. Siapa cepat dia dapat.

“Saya harap kerajaan baru ini dapat membantu rakyat. Kementerian perlu kerap turun padang melakukan tinjauan. Sebelum ini ada pihak yang mengehadkan pengeluaran barang runcit, apabila barang kurang mestilah harga akan menjadi mahal.

“Apabila situasi tersebut berlaku, tiba-tiba bekalan semakin mudah untuk kami dapatkan. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi saya harap akan ada perubahan selepas ini,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN