Ramos Tak Sangka Ledak Hatrik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DOHA – Wira Portugal yang meledak hatrik, Goncalo Ramos sama sekali tidak pernah terbayang diturunkan dalam kesebelasan utama saingan kalah mati di Piala Dunia, apatah lagi menjaringkan tiga gol dalam permulaan sulungnya di kejohanan itu.

Penyerang berusia 21 tahun itu diberikan kepercayaan untuk disenaraikan, berbanding pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo sebelum membalas ganjaran diperolehnya kepada jurulatih, Fernando Santos dengan mempamerkan corak permainan yang menakjubkan.

“Tak pernah sekali terfikir saya dapat membuat permulaan pertama dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia dan meledak tiga gol.

“Namun kami perlu memikirkan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan bersiap sedia untuk perlawanan ini (suku akhir menentang Maghribi).

“Keputusan yang diraih ini tidak lagi bermakna, kami akan berjuang habis-habisan pada perlawanan seterusnya,” katanya yang sering menggambarkan kekagumannya terhadap Ronaldo.

Pemain terbaik perlawanan di Stadium Lusail itu turut ditanya mengenai bagaimana reaksi pasukan, terutama Ronaldo daripada sudut pemilihan pemain yang dilakukan Santos ketika berada dalam bilik persalinan.

“Jujurnya tiada siapa bercakap mengenainya. Cristiano selaku kapten melakukan tugasnya, dia membantu, bercakap dengan kami bukan saja kepada saya tetapi juga rakan sepasukan yang lain,” katanya.

“Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi contoh terbaik, dia menjadi idola ramai. Saya juga menyukai (Robert) Lewandowski dan (Zlatan) Ibrahimovic,” katanya.

Ini adalah penampilan keempat Ramos bersama pasukan kebangsaan dan bermain dalam tempoh 10 minit di sepanjang dua perlawanan dalam peringkat kumpulan.

Penampilan sulungnya bersama Portugal adalah pada 17 November ketika perlawanan persahabatan menentang Nigeria, diturunkan ketika minit ke-67 permainan daripada bangku simpanan.

Pada ketika itu, dia berjaya meledak jaringan untuk menjaringkan gol kemenangan 4-0.

Sumber : BERITA HARIAN