Regragui di Laluan Tepat Cipta Sejarah Tersendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DOHA – Bos Maghribi, Walid Regragui muncul jurulatih pertama Afrika mengemudi pasukan ke suku akhir Piala Dunia apabila pasukannya menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan penalti, walaupun hanya mengambil alih tugas itu pada Ogos lalu.

Regragui dilantik sebelum kejohanan itu ketika bola sepak Maghribi bergolak selepas jurulatih terdahulu Vahid Halilhodzic dipecat kerana “perbezaan pendapat” dengan persekutuan bola sepak negara itu.

Namun dalam tujuh perlawanan sejak itu, Atlas Lions tidak kalah, melepaskan hanya satu gol itu pun menerusi gol sendiri pada aksi terakhir kumpulan menentang Kanada yang sudah tersingkir lebih awal.

Dalam tempoh hanya lima bulan sejak meninggalkan Wydad Casablanca, Regragui menjadi jurulatih antarabangsa buat julung kali dan membantu pasukannya muncul negara pertama Afrika Utara atau Arab layak ke pusingan lapan terakhir Piala Dunia.

Satu lagi kemenangan ke atas Portugal malam esok akan menjadikan Maghribi pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir sekali gus mengatasi pencapaian gemilang Cameroon pada 1990, Senegal pada 2002 dan Ghana pada 2010.

“Jika anda boleh melakukannya, anda boleh, jika tidak, tidak,” kata pengendali berusia 47 tahun itu mengenai pencapaian terbaharunya sebagai jurulatih Afrika mahupun Arab.

“Ia tiada kena mengena dengan orang Arab atau tidak. Saya berjuang untuknya. Mungkin apabila saya tua nanti, saya akan berbangga, tetapi buat ketika ini, saya amat berbangga dengan negara saya.

“Dengan menampilkan seorang jurulatih tempatan, ia perkara terbaik buat saya dan negara saya.”

Regragui mungkin tidak hadir pada kejohanan kali ini jika bos terdahulu Halilhodzic tidak mengetepikan pemain bintang seperti Hakim Ziyech dan Noussair Mazraoui kerana isu disiplin.

Ia menyebabkan jurulatih dari Bosnia itu bertelagah dengan persekutuan dan beliau akhirnya dipecat.

Regragui mengambil alih dan segera memanggil Ziyech dari Chelsea dan pertahanan Bayern Munich, Mazraoui yang ternyata antara pemain penting membantu Maghribi melakar rekod setakat ini.

Portugal menanti mereka di Stadium Al Thumama selepas membelasah Switzerland 6-1 pada pusingan 16 terakhir, tetapi Regragui pastinya mempunyai perancangan ampuh untuk mengekang lawan.

Sumber : BERITA HARIAN