Penduduk Aceh mahu UNHCR pindahkan pelarian Rohingya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BANDA ACEH: Penduduk di Desa Ulee Blang Mee di wilayah Blang Mangat di Aceh membantah kebanjiran pelarian Rohingya di wilayah itu di hadapan bekas pejabat Imigresen Bandar Lhokseumawe.

Penduduk kampung itu menggesa Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) memindahkan 229 pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di pejabat berkenaan.

Penyelaras tindakan itu, Beni Murdani, dalam ucapannya menggesa UNHCR segera keluar meninggalkan kampung mereka bersama semua pelarian Rohingya itu.

Mereka juga mengemukakan petisyen dan memberi tempoh tiga hari kepada UNHCR untuk memindahkan ratusan pelarian Rohingya itu ke lokasi lain.

“Kehadiran mereka di bekas pejabat imigresen Lhokseumawe, baik lelaki mahupun wanita, sangat mengganggu kehidupan seharian penduduk.

“Mereka tidak menghormati adab penduduk tempatan dan Islam yang mereka amalkan bertentangan dengan penerapan hukum Islam di Aceh.

“Sekiranya dalam tempoh tiga hari tuntutan itu tidak dipenuhi, maka kita akan melakukan satu lagi protes dengan jumlah peserta yang lebih ramai,” katanya.

Beliau turut meminta Pemangku Datuk Bandar Lhokseumawe, Imran, menjadi pengantara untuk menghantar tuntutan mereka kepada kerajaan pusat dan UNHCR.

Kakitangan UNHCR, Hendrik C Therik, tampil menjawab pertanyaan penunjuk perasaan dan wartawan di lokasi berkenaan.

“Mengenai pengendalian pelarian Rohingya bukan saja tugas UNHCR, tetapi Kerajaan dan Agensi Kemanusiaan Antarabangsa serta tempatan,” katanya.

Seramai 229 pelarian Rohingya kini ditempatkan sementara di bekas pejabat imigresen itu selepas mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Imigresen Indonesia.

Beberapa minggu lalu, lebih 110 pelarian Rohingya dilaporkan terkandas di perairan Kampung Meunasah Lhok, di Daerah Muara Batu sementara 119 lagi terkandas di perairan Kampung Bluka Teubai di Daerah Dewantara di Aceh Utara. – AGENSI

Sumber: BERITA HARIAN