Bayi empat bulan nyaris terperangkap banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU: Tindakan pantas seorang bapa pulang mengambil bayinya berusia empat bulan berjaya mengelakkannya daripada terperangkap di rumah pengasuh yang dilanda banjir di Kampung Kemat, di sini, kelmarin.

Mohamad Razif Abu Hassan, 35, yang bertugas di Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Marang berkata, dia mendapat panggilan daripada pengasuh bayinya, Atirah Izati Abdullah, 26, yang memaklumkan kejadian banjir kira-kira pukul 4 petang.

“Bayi saya, Muhamad Zikry baru dua bulan dihantar ke rumah pengasuh di Kampung Kemat dan saya terkejut menerima panggilan telefon daripadanya memberitahu rumah jiran sebelahnya dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

“Pengasuh juga telah bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan paras air semakin meningkat. Semasa saya sampai pada pukul 5.30 petang, bahagian dapur rumahnya hampir dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemat, semalam.

Mohamad Razif yang tinggal di Kuala Berang berkata, dia bersyukur kerana perjalanan pulangnya lancar walaupun hujan lebat dan tiada jalan ditutup akibat banjir.

Sementara itu, Atirah Izati berkata, beberapa buah rumah di kampung berkenaan mula dilanda banjir sejak tengah hari akibat limpahan Sungai Kemat ekoran hujan lebat berterusan sejak pukul 8 pagi kelmarin.

Katanya, melihat keadaan semasa tidak mustahil rumahnya turut dinaiki air sepertimana sebelum ini dan perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kemat.

Ujarnya lagi, jirannya yang juga pasangan warga emas, Mekngah Seman, 67, berpindah ke rumahnya ketika ini ekoran keadaan suaminya, Sulong Abdullah, 76, yang uzur akibat sakit tua.

Sumber: UTUSAN