Azan dilaung lagi di kawasan tanah runtuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BATANG KALI: Laungan azan sekali lagi berkumandang di lokasi operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan, pelbagai ikhtiar digunakan pasukan penyelamat bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih hilang.

“Tiada istilah putus asa. Pelbagai ikhtiar digunakan dalam usaha pencarian mangsa tanah runtuh Batang Kali yang memasuki hari kelapan.

“Anggota pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAJD), Prebet Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan dan seterusnya membaca doa sebelum gerak kerja disambung,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bermula jam 8 pagi tadi selepas dihentikan sementara susulan hujan lebat, petang semalam.

Semalam, empat mayat terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan, ditemui jam 11.04 pagi di Sektor C (Riverside).

Semua mangsa yang disahkan sekeluarga ditemui dalam satu bungkusan khemah pada kedalaman tujuh meter.

Secara keseluruhan, seramai 92 individu terbabit dalaminsiden yang berlaku Jumaat lalu, dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 mangsa disahkan terkorban dan seorang lagi mangsa masih hilang.

Sumber: BERITA HARIAN