KOTA BHARU: Masjid Mahmudi Kedai Melor, di sini mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah beberapa aset termasuk kenderaan rosak setelah digenangi air banjir yang melanda negeri ini, sejak Isnin lepas.
Imam Tua Masjid Mahmudi Kedai Melor Suhaimi Ibrahim berkata, kerosakan yang dialami termasuk karpet, stor atau garaj van jenazah serta pagar setelah air banjir naik hampir 0.8 meter di pekarangan masjid.
“Masjid berusia 35 tahun ini terletak di tepi Sungai Melor sebab itulah air cepat naik dan memasuki masjid separas betis untuk kali kedua malah disifatkan banjir agak besar berbanding 2017, dengan banyak aset hanyut atau rosak.
“Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), kami lihat air mulai masuk secara mendadak pada 4 pagi Isnin lalu dan masjid ini sudah banyak kali menjadi kawasan banjir. Sebelum ini, air bagaimanapun tidak masuk sehingga ke dalam masjid,” katanya kepada pemberita, di sini pada Jumaat.
Suhaimi berkata, ketika banjir 2017, pihaknya mengeluarkan kos RM120,000 bagi menggantikan karpet baharu.
“Untuk banjir kali ini, kami terpaksa menggunakan karpet sedia ada biarpun keadaannya lusuh dan mudah tercabut, malah kami menggunakan khidmat kontraktor cucian dengan upah RM6,000 bagi mengeringkan karpet supaya solat Jumaat hari ini dapat dilakukan.
“Pihak masjid lega apabila pascabanjir hari ketiga ini, kami turut dibantu 100 sukarelawan terdiri daripada orang kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan tenaga secara bergilir-gilir,” katanya.
Katanya, selain karpet, beberapa aset seperti pagar, garaj van jenazah didapati rosak, malah meja dan kerusi untuk kegunaan majlis jamuan masjid itu turut dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir itu.
Sumber: BERNAMA