Harimau Malaya Tiba di Hanoi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HANOI – Hampir 14 jam selepas membelasah Laos 5-0, skuad Harimau Malaya kini tiba di Hanoi bagi mengharungi aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala AFF berdepan Vietnam di Stadium My Dinh, Selasa ini.

Skuad kendalian Kim Pan Gon tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Ia turut menyaksikan Harimau Malaya terpaksa berperang dengan masa apabila hanya memiliki tempoh tiga hari termasuk menempuh perjalanan ke gelanggang lawan untuk berdepan juara dua kali, Vietnam.

Pemain negara, Sharul Nazeem Zulpakar dilaporkan mengakui jadual yang dilalui pada kejohanan Piala AFF ketika ini begitu padat menyebabkan pemain sukar mendapatkan rehat yang cukup.

Tonggak pertahanan itu berkata, dia hanya sempat tidur sekitar tiga jam selepas perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam kerana terpaksa berlepas ke Hanoi pagi tadi.

Harimau Malaya kini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menang 1-0 ke atas Myanmar pada aksi pertama di Yangon sebelum membelasah Laos 5-0.

Anak buah Pan Gon bagaimanapun perlu berdepan laluan getir apabila membuat perhitungan dengan Vietnam yang juga pilihan utama dalam Kumpulan B.

Selepas Vietnam, Harimau Malaya akan mengharungi aksi terakhir kumpulan berdepan pasukan jiran, Singapura di Stadium Nasional pada 3 Januari ini.

Sumber : BERITA HARIAN