KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun kepada 31 orang yang masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas 9 pagi ini.
Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, kesemua mereka membabitkan 12 keluarga itu ditempatkan di Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh dengan jumlah seramai 17 orang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chicha dengan 14 orang.
Keadaan cuaca di negeri ini juga agak baik sejak beberapa hari ini.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Kelantan merekodkan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras amaran iaitu 1.96 meter (m).
Portal eBanjir Kelantan pula melaporkan, hanya satu jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Kilometer (km) 1.8 di Jalan Paloh Rawa- Belukar Panjang.
Sumber : BERITA HARIAN