Dua Lelaki Maut Dalam Kemalangan Dua Kereta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SITIAWAN: Dua lelaki maut, seorang cedera manakala seorang lagi selamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 208.6 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) arah utara, berhampiran susur keluar Sitiawan Utara, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi, Toyota Vios dinaiki tiga lelaki terbabas dan berpusing sebelum dilanggar Proton Saga dipandu seorang lelaki dari arah belakang.

Difahamkan akibat pelanggaran itu, Toyota Vios ternaik ke atas pembahagi jalan.

Seorang penumpang tercampak keluar dari kereta dan terperosok ke dalam longkang di pembahagi jalan.

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Azizi Zakaria berkata, BBP Sitiawan menerima panggilan kecemasan jam 7.35 pagi tadi.

“Pemandu dan seorang lagi penumpang kereta terbabit tersepit. Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

“Penumpang yang tersepit disahkan maut, manakala pemandu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang memandu Proton Saga tidak mengalami kecederaan.

Mohd Azizi berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan, manakala dua mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat jam 8.46 pagi,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN