1,323 Ketua Isi Rumah Belum Menuntut Bantuan Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Sebanyak 1,323 ketua isi rumah (KIR) di daerah ini yang terjejas akibat banjir pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini, masih belum membuat tuntutan Bantuan Barang Keperluan Asas (BBKA) dan Baik Pulih Rumah (BPR).

Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin berkata, jumlah keseluruhan KIR yang layak menerima bantuan berkenaan adalah sebanyak 23,857 BBKA dan 1,611 BPR.

“Sepatutnya jumlah yang masih belum dituntut ini akan dipulangkan semula kepada pihak bertanggungjawab esok (31 Disember) namun Pejabat Pembangunan Negeri Pahang telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh tuntutan berkenaan sehingga penghujung Feb 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program Khalifah Muda anjuran Masjid Tepian Putra mebabitkan 170 peserta berumur tujuh hingga 15 tahun di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai bantuan banjir berkenaan, beliau berkata senarai KIR yang belum menerima bantuan tersebut telah dipanggil beberapa kali untuk membuat tuntutan namun agihan itu masih gagal disempurnakan.

Justeru, Hamdan menggesa KIR terjejas banjir musim lepas di daerah ini yang masih belum menerima bantuan berkenaan membuat semakan nama masing-masing di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi membuat tuntutan.

Sumber: METRO