Semua PPS Ditutup, Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda Terengganu pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir, ditutup.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, PPS Masjid Kampung La di Besut menjadi PPS terakhir ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Banjir luar jangka melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyebabkan lebih 40,000 penduduk terjejas, membabitkan lapan daerah berpindah ke PPS.

Semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman secara berperingkat selepas kawasan mereka pulih kecuali mangsa di PPS Masjid Kampung La, Besut.

Mangsa di PPS berkenaan tidak dapat pulang ke rumah sebelum ini disebabkan kediaman mereka rosak teruk akibat banjir yang melanda daerah itu.

Semalam, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, berkata kerajaan negeri membuat keputusan untuk membina dan membaik pulih kediaman mereka.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan agensi lain bagi tujuan bantuan berkenaan.

“Perkara ini dalam pemerhatian kerajaan negeri dan kita berusaha untuk membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN