Semua Sekolah Di Terengganu Akan Dibuka Sepenuhnya 1 Januari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Sesi persekolahan di Terengganu bermula esok dibuka seperti biasa apabila semua sekolah termasuk yang terkesan banjir di seluruh negeri ini, pulih sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah, berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini memaklumkan semua sekolah sudah bersedia menerima kemasukan pelajar untuk sesi penggal ketiga.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan pengagihan peralatan seperti meja dan kerusi ke sekolah terjejas banjir juga selesai dilakukan.

“Untuk sesi persekolahan bagi Terengganu berjalan seperti biasa esok (hari ini) dan semua sekolah termasuk yang dilanda banjir baru-baru ini berada dalam keadaan baik.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus memastikan sekolah yang terkesan banjir ini dibersihkan sepenuhnya bagi membolehkan semua pelajar kembali ke sekolah seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abdul Muie berkata, banjir luar biasa yang melanda Terengganu pada 18 Disember lalu menyebabkan 74 sekolah menengah dan rendah dilanda banjir.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan 61 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah terkesan banjir.

“Bencana yang melanda negeri ini juga mengakibatkan beberapa kerosakan berlaku di sekolah terbabit termasuk komputer, komputer riba, buku teks, kerusi dan meja,” katanya.

Abdul Muie berkata, sepanjang banjir yang melanda negeri ini juga, sebanyak 143 sekolah di jadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.

“Daerah Hulu Terengganu paling banyak sekolah terkesan banjir iaitu 17 sekolah, diikuti Dungun (11), Setiu (10), Besut (9), Kuala Nerus (8), Kuala Terengganu (8), Kemaman (7) dan Marang (4),” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN