Sabasun Kembali Bersama Terengganu FC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Syarikat Sabasun HYPErRUNCIT Sendirian Berhad kembali memeterai perjanjian bersama Terengganu Football Club (TFC) bagi menghadapi musim 2023 selepas 10 tahun tidak bersama.

Pengarah Urusan Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim berkata, tajaan tersebut di bawah kategori Silver bernilai RM250,000 dalam bentuk tunai.

“Hasil sokongan dan dukungan tidak berbelah bahagi rakyat Terengganu, kami terpanggil untuk memberi pulangan melalui penajaan kepada pasukan.

“Kami merasa sangat berbesar hati kepada pihak TFSB kerana memberi peluang dan ruang untuk kami bersama-sama sebagai penaja tahun ini

“Mudah-mudahan, kerjasama ini akan terbentuk dalam rangka lebih luas lagi disamping usaha kami berjuang di bidang ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas menandatangani usahasama penajaan di pejabat TFCSB, hari ini.

Majlis menandatangani penajaan tersebut disempurnakan Che Salmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh.

Tajaan tersebut akan memberi manfaat kepada penaja dalam bentuk promosi jenama dan logo penaja hari perlawanan pada jersi, pengecualian cukai, duta besar dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Abd Rasid merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas penajaan pasar raya terbabit.

“Setakat ini, kita telah menerima 15 penajaan secara keseluruhannya dengan nilai tajaan sebanyak RM9 juta melibatkan tunai, barangan dan lain-lain.

“Saya juga mengumumkan nilai kutipan tiket (gate collection) sepanjang beraksi di halaman sendiri pada saingan 2022 adalah sebanyak RM3.2 juta,” tambahnya.

– UNIT BERITA MANIS FM