Tanpa Messi, Neymar, PSG Tewas Kali Pertama Musim Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LENS, Perancis – Paris Saint-Germain, tanpa pemenang Piala Dunia, Lionel Messi dan bintang Brazil, Neymar, tewas buat pertama kali sejak 20 Mac tahun lalu apabila ditundukkan Lens 3-1.

“Lens berhak menang,” kata pengendali PSG, Christophe Galtier.

Lois Openda menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi buat Lens, yang hanya tewas sekali dalam saingan Ligue 1 musim ini.

Mereka kini merapatkan jurang kepada empat mata di belakang PSG yang kekal menghuni tangga teratas selepas 17 perlawanan.

“Kami gembira berada empat mata di belakang. Kemenangan ini membuktikan yang kami mampu menewaskan sesiapa saja dalam pertandingan ini,” kata pengendali Lens, Franck Haisse.

Kekalahan terakhir PSG adalah sembilan bulan lalu, 3-0 di tangan Monaco dalam saingan Ligue 1.

PSG turun tanpa Messi yang belum kembali selepas kejayaan bersama Argentina di Qatar, dan Neymar yang digantung satu perlawanan.

Hanya pemenang Kasut Emas Piala Dunia, Kylian Mbappe menerajui serangan PSG dan dia menerima sambutan hangat oleh penyokong Lens di atas kecemerlangannya bersama Perancis di Qatar.

Lens mendahului permainan pada minit kelima menerusi Przemyslaw Frankowski.

Hugo Ekitike menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Openda kembali meletakkan Lens di depan.

Di babak kedua, Openda mengumpan bola kepada Alexis Claude Maurice untuk gol ketiga Lens.

Messi akan kembali menyertai skuad PSG esok.

Sumber : BERITA HARIAN