Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Terengganu alami kerugian lebih RM88 juta tahun 2022

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat banjir yang melanda pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah bagi keseluruhan petani, penternak dan nelayan yang mengalami kerugian pada tahun lalu adalah seramai 3,697 orang.

“Setakat yang kita terima untuk sub sektor pertanian, kita kerugian sekitar RM39.2 juta yang melibatkan seramai 2555 orang warga tani manakala bagi sub sektor penternakan pula jumlah kerugian adalah RM3.4 juta dengan seramai 781 penternak dan bagi sub sektor perikanan pula jumlah kerugian kita ialah lebih RM6 juta yang melibatkan seramai 361 orang penternak akuakultur dan juga nelayan.

“Jadi jumlah keseluruhan kerugian setakat hari ini ialah lebih RM 88 juta dengan seramai 3697 orang warga tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian dan terkesan dengan banjir pada baru-baru ini,” katanya ketika ditemu bual selepas merasmikan Majlis Amanat Sektor Pertanian negeri, di sini, hari ini.

Beliau turut berkata nilaian kerugian dialami di sektor pertanian, penternakan dan perikanan itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian (TBPN).

“Jawatankuasa TBPN akan mengadakan mesyuarat dan membuat penilaian jumlah ganti rugi kepada golongan berkenaan.

“Semua agensi kerajaan dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan diberi tempoh sehingga 15 Januari ini untuk mengemaskini data terkini jumlah golongan yang terkesan dan kerugian dialami untuk dibentangkan pada mesyuarat TBPN,” katanya.

Untuk rekod, sektor pertanian dan perikanan di negeri ini kerugian kira-kira RM49.6 juta akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), pertengahan bulan lalu.

Pada majlis itu, Dr Azman turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Persijilan Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP) dan Skim Persijilan Organik (myOrganic) 2022 kepada 52 peserta.

Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM