KUANTAN: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cedera ketika membantu mangsa kemalangan apabila jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur, arah Barat dekat sini, hari ini.
Kejadian pada 3.59 pagi itu menyebabkan empat mangsa termasuk anggota bomba terbabit cedera manakala seorang lagi parah.
Penolong Pengarah JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sebelum itu pihaknya menerima kes daripada Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) yang meminta bantuan EMRS bomba untuk memberi rawatan awal dan menghantar mangsa kemalangan ke hospital.
“Kemalangan awal membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux dengan sebuah Proton Saga yang mana hanya seorang mangsa yang cedera ringan dalam kejadian itu.
“Ketika pasukan EMRS bomba sedang membantu mangsa kemalangan, sebuah kereta Perodua Viva dan lori satu tan nyaris melanggar kereta Proton Saga yang berada di tengah lebuh raya namun sempat mengelak.
“Namun datang sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sorento melanggar Proton Saga terbabit menyebabkannya berpusing sebelum merempuh lori serta jentera EMRS yang berada di tepi lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan anggota bomba dan mangsa yang menerima rawatan awal di dalam EMRS tercampak,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, pemandu Kia Sorento, pemandu Hilux, pemandu lori dan seorang anggota bomba cedera.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera dan mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Sumber: METRO