RIYADH: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo masih perlu menjalani penggantungan dua perlawanan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris sebelum membuat penampilan sulung bersama Al Nassr, kata seorang pegawai di kelab Saudi itu kepada AFP, semalam.
Ronaldo telah dikenakan hukuman itu pada November kerana menghempas telefon bimbit dari tangan seorang penyokong remaja selepas Manchester United, kelabnya pada masa itu, tewas kepada Everton.
“Penggantungan itu terpakai selepas dia didaftarkan secara rasmi,” kata seorang pegawai Al Nassr, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada media.
Al Nassr masih belum mendaftarkan Ronaldo kerana kelab Arab Saudi itu sudah melebihi kuota pemain import.
Ronaldo, yang perjanjiannya dianggarkan bernilai 200 juta euro (RM937.5 juta) hingga Jun 2025, adalah pemain import kesembilan Al Nassr, lebih satu daripada lapan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa bola sepak Saudi.
Pendaftarannya dijangka selesai semalam, sumber yang rapat dengan kelab itu berkata, tanpa mendedahkan siapa pemain import yang akan diketepikan.
Laporan Saudi berkata pemain tengah Uzbekistan, Jaloliddin Masharipov berkemungkinan besar akan memberi laluan kepada pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or dan pemegang rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara itu.
Perlawanan pertama Al Nassr sejak ketibaan Ronaldo berlangsung semalam.
Sumber: METRO