Kerajaan Terengganu Perketatkan Kemasukan Pengasuh Taska

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu beri jaminan semua pengasuh kanak-kanak di 70 Taska Permata di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melalui tapisan ketat sebelum diambil bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata sebelum diambil kerja, semua pengasuh yang diambil bekerja akan dikenal pasti dan melalui proses tapisan ketat termasuk pemeriksaan latar belakang keluarga, lulus kursus asuhan pendidikan awal kanak-kanak Permata dan beberapa syarat lain.

Tambahnya, kes ini merupakan kes terpencil kerana Taska Permata setakat ini tiada lagi kes penderaan sebegini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani surat anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0MW Sungai Pelagat hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 134 pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di seluruh negeri.

Hanafiah berkata kerajaan negeri amat sedih serta kesal dengan kejadian menimpa seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai didera sehingga koma di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata walaupun insiden itu berlaku di pusat jagaan kanak-kanak swasta, langkah-langkah pencegahan dan pemantauan masih perlu dijalankan di semua taska bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri masih menunggu perkembangan dah menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada pihak polis.

– UNIT BERITA MANIS FM