Kebakaran Melibatkan Empat Orang Cedera Di Pangsapuri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SELAYANG: Empat termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kejadian kebakaran di sebuah unit kediaman di sebuah pangsapuri di Persiaran Perdana, Desa Aman Puri, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.14 pagi.

Katanya, sejurus menerima panggilan sepasukan 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota bomba dimaklumkan sebuah rumah terletak di tingkat satu di bangunan 12 tingkat itu terbakar.

“Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu yang menyebabkan sebahagian struktur rumah turut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Tujuh penghuni rumah itu sempat keluar dari kediaman mereka sebelum api marak.

“Daripada tujuh penghuni berkenaan, dua mangsa dewasa selamat, manakala dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

“Dua wanita itu dilaporkan cedera di bahagian tangan dan muka. Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN