TFCSB Kelab Bola Sepak Pertama Memiliki Servis Penstriman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) menjadi kelab bola sepak pertama di Malaysia yang memiliki servis penstriman dengan memperkenalkan TFC PLAY sebagai platform terbaharu untuk konten video eksklusif kelab Terengganu FC.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh berkata TFC PLAY bakal menjadi penanda aras baru untuk kelab ini dalam menyediakan sesuatu yang berbeza buat para peminat dan penyokong TFC.

“Dengan menginspirasikan apa yang telah dilakukan oleh syarikat streaming terkenal antarabangsa, Netfilx, unit pemasaran TFCSB telah merangka pelan untuk menghasilkan TFC PLAY ini sebagai sesuatu perkara yang baru di negara kita.

“Pewujudan TFC PLAY juga dilihat sebagai salah satu anjakan untuk menaikkan nilai komersial kelab ini dengan menjadikan ianya sebuah aset besar dalam usaha untuk menarik minat pelabur dan rakan rasmi untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab ini khususnya dalam aspek pemasaran dan pengkomersialan,” katanya ketika ditemu bual dalam majlis perasmian platform TFC PLAY 2023 Terengganu FC bertempat di Pejabat TFCSB, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus.

Menurutnya, para pelanggan boleh melanggani TFC PLAY dengan harga serendah RM 7 sahaja untuk satu bulan manakala bagi 12 bulan hanya RM 60 sahaja dengan penjimatan sebanyak RM24.

Tambahnya lagi, para pelanggan bakal menikmati kira-kira 95 video seperti Dokumentari, Original Movie, Diari Pasukan, Konten Eksklusif bagi setiap perlawanan (Inside) yang mampu mendekatkan para peminat kepada pasukan dan memberi kemudahan kepada ahli untuk mendapatkan sesuatu secara lebih eksklusif dari TFCSB.

Video-video eksklusif yang terdapat di dalam TFC PLAY juga tidak akan dapat ditonton dimana-mana aplikasi lain seperti Youtube dan sebagainya.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM