BENTONG – Lebih 200 orang pekerja asing melakukan mogok di Amber Court, Genting Highlands, dekat sini, berpunca daripada ketidakpuasan hati pekerja berkenaan gaji dan jadual kerja.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata dalam kejadian jam 8 pagi, 2 Januari lalu, dua warga asing dipercayai ‘ketua kumpulan berkenaan disoal siasat kerana melancarkan mogok dan enggan memberi kerjasama sebelum dibawa ke Balai Polis Genting Highlands turut disiasat.
Katanya, bertindak di atas maklumat, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bergegas ke tempat kejadian dan memberi amaran kepada individu yang mengetuai mogok itu supaya bersurai dan tidak melakukan kacau ganggu di tempat awam.
“Didapati hampir 200 orang yang disyaki warga negara asing berkumpul dan berhimpun melakukan mogok diketuai dua orang lelaki berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, punca kejadian mogok itu disebabkan berlaku perselisihan faham antara syarikat dan pekerja.
“Syarikat memaklumkan punca mogok akibat daripada ketidakpuasan hati pekerja berkenaan gaji dan jadual kerja, “katanya.
Beliau berkata, polis berjaya mengawal keadaan setelah menasihatkan pihak pengurusan dan kumpulan yang melancarkan mogok untuk berbincang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan serta menganggu ketenteraman awam.
“Mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan perkara ini diselesaikan pihak pengurusan serta pekerjanya dengan cara baik atas nasihat polis.
“Pemantauan di lokasi berkenaan juga dilakukan secara berkala,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN