RIYADH – Inter Milan mengekalkan kejuaraan Piala Super Itali selepas Edin Dzeko mencetus kemenangan 3-0 ke atas seteru tetangga, AC Milan.
Inter mendahului 2-0 selepas 21 minit aksi di Riyadh apabila Dzeko membuat umpanan untuk gol pembukaan Federico Dimarco pada minit ke-10 dan menggandakan jaringan 11 minit kemudian.
Lautaro Martinez memastikan kemenangan Inter pada minit ke-77 untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih tahun lalu selepas menewaskan Juventus.
“Kami menampilkan persembahan hebat, pemain-pemain cukup cemerlang dari minit pertama sehingga wisel penamat.
“Kami memenangi Piala Super musim lalu jadi kami tahu betapa hebat untuk memenanginya. Saya amat gembira kami dapat membawa pulang satu lagi trofi, dan saya berharap akan ada banyak lagi di masa akan datang,” kata Dzeko.
Perlawanan di Arab Saudi itu bukan suasana biasa untuk pertemuan tetangga Milan, tetapi ia tidak menghalang penyokong Inter untuk meraikan kejuaraan Piala Super buat kali ketujuh.
Kedua-dua pasukan ketinggalan di belakang Napoli dalam pemburuan Serie A musim ini, tetapi Inter kelihatan lebih meyakinkan berbanding juara Itali itu yang gagal mencabar skuad kendalian Simone Inzaghi.
“Kami bermula hambar di babak pertama, melakukan terlalu banyak kesilapan dan selepas itu semakin sukar untuk bangkit.
“Kekalahan ini menyakitkan kerana ia adalah trofi yang kami mahukan, tetapi masih ada peluang untuk baki musim ini. Kami perlu kembali kepada corak permainan yang kami tahu,” kata pengendali Milan, Stefano Pioli.
Sumber : BERITA HARIAN