Guardiola Mahu Man City Lebih Garang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER – Pep Guardiola masih tidak berpuas hati dengan prestasi pemain-pemainnya walaupun Manchester City bangkit meledak empat gol untuk menewaskan Tottenham 4-2.

Misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris mereka di ambang bahaya apabila ketinggalan dua gol hasil jaringan Dejan Kulusevski dan Emerson Royal dalam tempoh tiga minit sebelum rehat di Etihad.

Juara bertahan itu bagaimanapun bangkit dengan tiga gol dalam tempoh 12 minit menerusi Julian Alvarez, Erling Haaland dan Riyad Mahrez.

Mahrez kemudian memastikan kemenangan pada minit-minit akhir untuk meletakkan City lima mata di belakang Arsenal, yang bermain kurang satu perlawanan.

Namun bagi Guardiola, persembahan anak buahnya tidak mencukupi untuk pasukan yang sudah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris sepanjang lima musim lalu.

“Kami memberikan mereka gol pertama dan gol kedua tidak masuk akal. Tidak ada keberanian dan kami hanya bernasib baik, tetapi jika tidak diubah kami akan tercicir mata,” kata Guardiola.

Guardiola turut meminta sokongan padu penyokong City yang mencemuh pasukan mereka selepas ketinggalan dua gol sebelum rehat.

“Mereka mencemuh kerana kami sedang ketinggalan. Mungkin ia sama seperti pasukan, mungkin kami terlalu selesa selepas menang empat gelaran Liga Perdana Inggeris dalam lima tahun.

“Saya mahukan reaksi daripada semua di kelab, bukan hanya pemain. Saya mahu tewaskan Arsenal. Jika kami terus bermain seperti itu, Arsenal akan menghancurkan kami,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN