Sekolah Model Khas K11 di RPS Betau Bantu Atasi Keciciran Pelajaran Masyarakat Orang Asli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIPIS – Pelaksanaan Peroperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) secara rintis Sekolah Kebangsaan (SK) RPS, Betau dilihat mampu mengatasi masalah keciciran pelajaran anak-anak Orang Asli di kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia adalah satu kejayaan hasil perjuangan beliau selaku wakil rakyat Jelai dan kesinambungannya, Kerajaan Negeri akan terus berjuang untuk kawasan-kawasan lain bagi memastikan masyarakat Orang Asli di negeri ini menerima pendidikan dengan sempurna.

“Ia adalah perjuangan saya selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelai di mana secara asalnya saya memohon Kementerian Pendidikan untuk sekolah tingkatan satu hingga lima tapi pihak Kementerian luluskan sampai tingkatan tiga sahaja. Baru ini saya mohon sekali lagi kerana kalau masih tidak berjaya, ia tidak akan menyelesaikan masalah keciciran pembelajaran.

“Ini kerana selepas tingkatan tiga mereka terpaksa pergi ke Lipis atau Sungai Koyan untuk melanjutkan pelajaran (tingkatan empat dan lima) dan yang merisaukan saya adalah kadar keciciran… bila mereka balik rumah, mereka tak nak datang ke sekolah dah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerkoh, hari ini.

Kehadiran beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Daerah Lipis, Tan Sri Lim Sing@Lam Kam Sang dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Sementara itu menyentuh berkenaan sambutan Tahun Baru Cina di sini, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berbangga melihat kehadiran pelbagai kaum yang turut sama berkongsi kegembiraan pada hari ini.

“Ini jelas menunjukkan semangat perpaduan antara kaum yang amat baik di negeri ini kerana ramai yang datang dan saya harap keharmonian ini berkekalan kerana perpaduan adalah kunci untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan.

“Kita dapat hidup dalam keadaan aman damai dan Kerajaan Negeri boleh membangunkan ekonomi dengan lebih cemerlang bagi kemajuan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Daerah Lipis, Tan Sri Lim Sing@Lam Kam Sang yang ditemui turut berterima kasih di atas kehadiran pemimpin dan masyarakat setempat yang hadir pada majlis sambutan berkenaan di sini.

“Sambutan tahun baru telah diadakan selama 28 tahun di sini, cuma ia terhenti sejak 2020 Covid-19 melanda sebelum disambut kembali pada tahun ini. Kehadiran semua bangsa termasuk masyarakat Orang Asli menunjukkan hubungan baik antara kaum di sini.

“Saya berterima kasih kepada semua yang hadir terutamanya Menteri Besar Pahang serta pemimpin setempat yang bersama-sama berkongsi kegembiraan masyarakat Tiong Hua hari ini,” katanya.

Sumber -PAHANGMEDIA