KUALA TERENGGANU – Seramai 10 pelajar terbaik bagi menerima Biasiswa YT-TI (Young Talent Scholarship Programme) bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam.
Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan GLC Negeri Terengganu bersama dengan Yayasan Negeri Terengganu, kita berjaya mengumpulkan sebanyak RM 500,000 sumbangan daripada GLC di bawah kerajaan negeri sebagai permulaan bagi tahun 2022.
Biasiswa YT-TI ini dianugerahkan kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan matrikulasi atau asasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di semua universiti awam.
“Setiap pelajar akan menerima biasiswa antara RM12,000 hingga RM15,000 setahun mengikut kursus yang diikuti.”
“Mereka ini daripada tujuh bidang yang kita kenal pasti daripada Terengganu Incorporated yang menjadi keperluan kepada syarikat-syarikat GLC dan kerajaan negeri pada masa akan datang”.
“Untuk 2023 kita akan meneruskan dengan jumlah yang sama iaitu RM 500,000 dan saya buat seruan baru kesemua GLC yang lain dan perseorangan serta syarikat lain yang beroperasi di negeri Terengganu untuk sama-sama bantu memberikan sumbangan.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apreasasi Penerima YT-TI (Young Talent Scholarship Programme) Tahun 2022 di Wisma Darul Iman.
Penubuhan Program Biasiswa GLC-Yayasan Terengganu yang merupakan idea yang dicetuskan Oleh YAB Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Bin Mokhtar Ini, memberi impak positif kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu.
Keistimewaan Young Talent Scholarship Programme ini menawarkan kemudahan dari segi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku, termasuklah pemberian Ipad percuma.
Pelajar yang terpilih bakal melanjutkan pelajaran di dalam bidang pembelajaran yang menjurus kepada kebolehpasaran masa kini iaitu Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-Undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisio), Pentadbiran Korporat, Dan Perladangan.
Muhammad Amirul Bin Mohd Rahami, 21, meluahkan rasa terujanya ,menerima biasiswa tersebut.
“Ini memang harapan saya, impian saya untuk melanjutkan pelajaran dengan pembiayaan dengan mana- mana pihak untuk mengurangkan beban kepada ayah saya” Kata Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer tersebut.
Selain Muhammad Amirul, pelajar cemerlang Jurusan Sains Pengurusan Perniagaantani, Muhammad Haikal Airiel Bin Fauzi, 21, juga meluahkan rasa syukurnya dengan anugerah biasiswa yang diperolehnya.
“Dengan adanya Biasiswa YT-TI Ini, saya rasa akan dapat bukan serba sedikitlah tetapi dapat membantu sepenuhnya pengajian saya di peringkat pengajian tinggi dan Inshaallah satu hari nanti saya dapat membantu mengubah nasib keluarga,” katanya.
Hal ini adalah selaras dengan apa yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti sebagai aset terpenting Negeri (Kerajaan Teknokrat) Menjelang Tahun 2030.
Sumber: Unit Berita Manis FM