BHUBANESWAR, India: Bintang senior Korea Selatan, Jang Jong-hyun mengesahkan bakal mewakili Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Jong-hyun juga akan disertai dua pemain muda Korea Selatan termasuk jurulatih Seo Jongho dalam saingan MHL yang dijadual membuka tirainya Februari ini.
Pemain berusia 38 tahun yang membantu Korea Selatan ke suku akhir Piala Dunia 2023 itu, sudah meledakn empat gol dengan dua daripadanya adalah ketika terikat 5-5 dengan Argentina.
Korea memenangi perlawanan menerusi pukulan penentuan penalti 3-2 dan dijadual bertemu Belanda di saingan suku akhir hari ini.
“Saya sudah pernah bermain di MHL dan menikmati setiap saat kejohanan. Saya akan kembali pada Februari untuk bermain bersama THT bagi membantu mereka meraih gelaran,” kata Jong-hyun.
Jong-hyun bukan seseorang yang asing di Malaysia, memandangkan dia pernah bermain bersama THT pada 2020 dan meledak 23 gol, 22 daripadanya adalah menerusi pukulan sudut penalti dan bakinya pukulan penalti.
Begitupun, ia masih belum memadai untuk membantu THT meraih gelaran apabila pasukan dari Pantai Timur itu menamatkan saingan liga di tempat ketiga dan meraih perak dalam kedudukan keseluruhan ketika itu.
“Dua pemain muda adalah Yoo Seong Ho (20) dan Choi Hoil (22). Ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk mencuba dan membiasakan diri dalam pasukan kebangsaan,” kata Jong-hyun yang sudah meledak 109 gol dalam 313 perlawanan antarabangsa.
Jurulatih Piala Dunia bagi Korea Selatan, Shin Seok-kyo turut kecewa apabila mereka menjadi wakil tunggal pasukan Asia di suku akhir namun dalam masa sama, mahu memburu pingat emas di Sukan Asia yang bakal menjadi tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya sangat kecewa apabila Jepun, India dan Malaysia tidak mara ke suku akhir walaupun sudah bermain dengan sehabis baik. Bukan mudah menjadi satu-satunya pasukan Asia di suku akhir tetapi kami mahu menewaskan Belanda dan mara ke separuh akhir.
“Selepas Piala Dunia, saya akan melatih pemain sama untuk memenangi pingat emas Sukan Asia untuk beraksi di Olimpik,” kata Seok-kyo yang turut mengesahkan Jong-hyun akan berada dalam skuad kendaliannya.
“Iya!. Dia bermain bersama kelab saya di Korea (Seongnam) dan saya akan memujukkan bermain di Piala Asia dan sekiranya dia kata terlalu letih, saya akan menawarkan sesuatu untuk dia bersama,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN