MANCHESTER – Mikel Arteta berkata Arsenal perlu belajar tampil lebih garang menentang Manchester City selepas gol Nathan Ake memberikan skuad kendalian Pep Guardiola kemenangan 1-0 pada pusingan keempat Piala FA.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dua kali lagi dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi saingan Liga Perdana Inggeris dengan kejuaraan menjadi sandaran.
Arsenal mendahului City dengan kelebihan lima mata di puncak liga dan Arteta percaya The Gunners perlu memanfaatkan setiap peluang apabila menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.
Pengendali Arsenal itu membuktikan gelaran pertama liga dalam tempoh 19 tahun adalah keutamaannya apabila melakukan enam pertukaran dengan Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli antara pemain yang bermula di bangku simpanan.
Bagaimanapun pelawat masih mampu mencipta peluang awal apabila Takehiro Tomiyasu dan Leandro Trossard, pada penampilan penuh sulungnya, memaksa Stefan Ortega menyelamatkan gawang City.
“Amat kecewa. Saya rasa kami mampu mendapat lebih daripada perlawanan ini. Kami mempunyai peluang keemasan tetapi tidak menyempurnakannya.
“Dalam situasi sebegitu, di dalam perlawanan besar, anda perlu mengambil peluang. Begitulah cara untuk memenangi perlawanan sebegini,” kata Arteta.
City juga tidak berada pada prestasi terbaiknya dengan Erling Haaland dikawal ketat oleh Rob Holding sebelum rehat.
Bintang Norway itu menyaksikan jaringan akrobatiknya dari jarak jauh dikeluarkan oleh Tomiyasu dengan penjaga gol Arsenal, Matt Turner terselamat daripada percubaan Kevin De Bruyne yang tersasar sebelum rehat.
Guardiola hanya melakukan satu pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Wolves 3-0.
Bagaimanapun, Julian Alvarez, salah seorang pemain gantian yang dimasukkan di babak kedua, mengubah rentak permainan City.
Percubaan jarak jauh pemain Argentina itu terkena tiang dan Jack Grealish menghantar bola kepada Ake yang kemudian melencongkan bol untuk gol tunggal perlawanan.
“Ia adalah gol pertama saya dengan kaki kanan, jadi saya amat gembira,” kata Ake.
Arteta kemudian memasukkan Martinelli, Odegaard dan Oleksandr Zinchenko dan hampir menyamakan kedudukan, namun percubaan Eddie Nketiah dinafikan Aymeric Laporte.
“Perlawanan yang sengit menentang lawan sukar dan kami memenanginya,” kata Guardiola, yang menjadikan perlawanan itu sebagai kayu ukur kemampuan skuadnya mengejar Arsenal dalam kejuaraan liga.
Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali di Emirates pada 15 Februari sebelum aksi kedua di Etihad pada 26 April.
Sumber : BERITA HARIAN