Buntu Status Anak Bukan Warganegara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Pasangan suami isteri dari Kampung Bukit Lanjut, di sini, bimbang akan masa depan tiga anak mereka yang berusia di antara tiga hingga tujuh tahun disebabkan memiliki sijil kelahiran bukan warganegara.

Pasangan berkenaan, Noriza Ismail, 35, dan suaminya, Muhamad Syukur Abdullah, 35, buntu memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi memastikan tiga anak mereka iaitu Muhammad Zafriel Anaqi Muhamad Syukur, 3; Nur Iyzarrq Batrisya Dania Riedza, 5; dan Muhammad Ilyas Zafran Yashkur ,7, memperoleh sijil kelahiran warganegara untuk memudahkan urusan persekolahan.

Noriza berkata, ketiga-tiga sijil kelahiran anaknya tertera bukan warganegara, berikutan maklumat dirinya dan suami tidak lengkap kerana dalam sijil kelahiran mereka sebelum ini tidak dinyatakan dengan lengkap maklumat diri ibu serta ayah kandung masing-masing.

“Suami saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia dua hari dan tidak ada maklumat lengkap mengenai nama dan juga kad pengenalan diri ibu serta ayah kandung selepas diserahkan kepada keluarga angkat. Suami tidak pernah tahu siapa ibu kandungnya, malah tidak pernah berjumpa dengannya.

“Saya turut mengalami masalah sama, apabila tidak mempunyai maklumat lengkap dalam sijil kelahiran mengenai butiran peribadi ibu serta ayah kandung selepas mereka meninggal dunia. Saya bersama tiga lagi adik-beradik kemudiannya diserahkan kepada saudara terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lanjut.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed.

Noriza berkata, dia dan suami sudah beberapa kali naik turun ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kota Bharu dan Kuala Krai untuk menjelaskan perkara berkenaan.

“Bagaimana saya dan suami hendak mencari keluarga kandung kami yang sudah lama ditinggalkan, hanya untuk mengisi butiran lengkap dalam sijil kelahiran kami bagi memastikan anak memiliki status warganegara.

“Kami ditinggalkan oleh keluarga kandung masing-masing sejak kecil dan sukar untuk kami menjejaki mereka kembali dan tidak tahu di mana keberadaan mereka, sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia merayu kepada pihak yang berkaitan supaya menyemak semula perkara berkenaan.

“Saya bimbang akan masa depan anak apabila mereka dewasa yang mungkin berdepan kesusahan untuk melanjutkan pelajaran, memandu, bekerja, kemudahan perubatan, berkahwin dan lain-lain, ” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN