Speedy Tigers Akhiri Kempen di Tempat Ke-13

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROURKELA, India – Skuad hoki lelaki negara menamatkan kempen Piala Dunia di tempat ke-13 selepas menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj memperbaiki kedudukan empat tahun lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan 15 dari 16 pasukan bertanding.

Shahmie Irfan Suhaimi, 20, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Speedy Tigers pada aksi Stadium Birsam Munda, India itu.

“Secara keseluruhan, satu kemenangan yang baik ke atas Jepun, dan walaupun kami tidak mencapai misi (ke suku akhir), statistik di sini menunjukkan satu prestasi yang baik. Kami bermain enam perlawanan dan menang tiga, kalah dua dan seri satu.

“Dan daripada 24 suku (permainan), kami hanya mengalami dua suku yang teruk ketika menentang Afrika Selatan (babak pertama). Bagi saya, isunya adalah kami tewas dalam perlawanan yang salah (Afrika Selatan) dan meletakkan kami di kedudukan bawah (bukan kesembilan hingga ke-12).

“Apapun, saya masih berbangga dengan pemain saya, kerana ia bukan mudah, setiap perlawanan perlu berusaha gigih dan mereka berjuang sehingga akhirnya. Kami boleh berada di suku akhir Piala Dunia kali ini, dan itu adalah perkara positif yang akan kami ambil daripada kejohanan,” kata Arul.

Malaysia mendahului saingan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Shello Silverius pada minit kelapan namun pemain Jepun, Kaito Tanaka menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Seren Tanaka kemudian meletakkan pasukan Jepun di depan pada minit ke-32 namun pada minit sama, Shello meledak jaringan padang untuk menyamakan kedudukan kepada 2-2.

Tumpuan perlawanan tertumpu kepada Shahmie apabila dia meledak jaringan padang pada minit ke-34 dan Malaysia terus mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Shahmie bermain dengan baik di Piala Sultan Johor dan menyertai skuad senior dengan pelbagai kecederaan dan jurulatih pasukan remaja, Amin Rahim menyarankan pemainnya itu untuk menjadi pemain ke-20 ke Piala Dunia.

Anak kepada bekas Olimpian, Suhaimi Ibrahim yang pernah bermain di Sydney 2000 dan meledak dua gol, tidak pernah mengecewakan bapanya apabila pernah membantu pasukan meledak satu jaringan ketika menentang Sepanyol dan terbaru sewaktu bertemu Jepun.

Sumber : BERITA HARIAN