KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin di atas kejayaan beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.
Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Hamidin dan menyifatkan ianya sebagai satu pengiktirafan kepada beliau dan juga kepada FAM serta negara.
“Selain itu, ianya juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keyakinan Hamidin dengan berbekalkan keupayaan dan pengalaman luas beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis FIFA dengan jayanya.
“Baginda turut yakin bahawa beliau akan membawa suatu nafas baru kepada sukan bola sepak dunia dan negara,” titah baginda menerusi satu kenyataan daripada Istana Negara.
Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Hamidin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.
Mengikut rekod, Yang di-Pertuan Agong menjadi wakil Malaysia pertama dalam Majlis FIFA susulan kemenangan baginda pada Kongres 2015.
Terdahulu, Malaysia terus ‘mendunia’ apabila Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-33 yang berlangsung di Manama, Bahrain, semalam.
Berdasarkan pemilihan yang dilakukan, Hamidin mendapat 30 undian sekali gus membolehkan beliau mengisi lima kerusi ahli majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu daripada tujuh calon yang bertanding.
Sumber : BERITA HARIAN