KUALA LUMPUR – Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan ketika skuad Harimau Selatan mengejutkan Lokomotiv Moscow dalam aksi persahabatan di Stadium The Sevens, Dubai, malam tadi.
Bintang muda sensasi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua tahun berturut-turut itu diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan dan beraksi dengan cukup baik.
Pemain berusia 21 tahun itu cemerlang membentuk gandingan serasi bersama Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri di samping Juan Muniz bagi mengemudi jentera serangan.
Namun begitu, jaringan Arif Aiman terus mencuri perhatian ke atas kelab dari Russia itu selepas dia membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang mengelirukan lawan.
Kemenangan itu adalah yang ketiga dilakar skuad Harimau Selatan selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan sepanjang berada di sana.
Sebelum ini, skuad kendalian Estaban Solari menewaskan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan mendahului 1-0 ketika menentang kelab Bulgaria, FC Levski Sofia sebelum perlawanan ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan.
Pada aksi pertama 25 Januari lalu, mereka tumpas 2-0 kepada FC Rostov.
Selepas ini, JDT akan melengkapkan aksi pramusim dengan menentang juara Liga Russia, FC Zenit St Petersburg pada 6 Februari.
Kemudian skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Super 2023 bertemu Terengganu FC untuk perlawanan sumbangsih, Piala Sultan Ahmad Shah pada 24 Februari.
Sumber : BERITA HARIAN