MACHANG – Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang menyasarkan jualan tekstil batik hasil buatan penghuni penjara berjumlah hampir RM400,000 bagi tahun ini, kata Pengarahnya Mohd Nasir Yusof.
Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan strategi pemasaran dan kualiti corak batik yang diketengahkan iaitu batik ‘Khonyok Mache’ dan ‘Sulam Kasih’.
“Tahun lalu hasil jualan batik di PPA Machang berjumlah lebih RM126,000. Oleh itu, bagi tahun ini, kita sasarkan peningkatan jualan batik sebanyak dua hingga tiga kali ganda.
“Ketika ini kita memiliki seramai 40 penghuni penjara yang membuat batik dan mereka ini bekerja selama sembilan jam bermula pukul 8 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas prapelancaran Produk Batik 2023 di Dewan Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, PPA Machang, di sini hari ini, yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknolgi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Prof Dr Abdol Samad Nawi.
Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata pihaknya turut berkolaborasi dengan UiTM Cawangan Machang untuk mendapatkan kepakaran dari segi rekaan corak dan sebagainya sejak 2014.
“Kita juga merancang membuka kiosk bagi meningkatkan jualan kepada orang ramai kerana kita yakin dengan kualiti warna dan mutu batik yang dihasilkan oleh penghuni penjara,” katanya.
– BERNAMA