KUANTAN – Hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini terutama di beberapa kawasan perumahan dan kampung menyebabkan berlaku banjir kilat, pagi ini.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah di Sungai Lembing, taman perumahan Sungai Isap Damai, Kampung Gudang Rasau dan kampung Cendering.
Tinjauan di Kampung Gudang Rasau pada jam 8.30 pagi ini, mendapati air naik sehingga 0.4 meter setakat ini.
Berdasarkan gambar yang tular di Pekan Sungai Lembing, kawasan itu mula dinaiki air pada jam 5 pagi, hari ini.
Begitu juga di beberapa kawasan lain berikutan hujan lebat berterusan pada jam 4 pagi.
Sementara itu, data berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan tiga sungai di daerah ini melepasi paras bahaya pada jam 8 pagi.
Sungai terbabit ialah Sungai Lembing, Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Seri Damai, di sini.
Paras air Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin melepasi paras amaran manakala Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula melepasi paras waspada.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa kawasan di Pahang.
MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada jam 5.50 pagi ini memaklumkan, hujan berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Kuantan manakala hujan berterusan tahap buruk diramal berlaku di Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang.
Hujan berterusan tahap waspada pula diramal berlaku di Pahang iaitu di daerah Lipis, Raub, Jerantut dan Bentong.
Sumber : BERITA HARIAN