Bekas Imam Maut Motosikal Dilanggar Myvi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG: Bekas imam maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di KM 21 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang dekat masjid Kampung Durian Guling, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa, Nordin @ Wan Ghazali Wan Ismail, 78, yang juga bekas imam masjid berkenan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss ditunggangi mangsa dan sebuah Perodua Myvi dipandu jurujual wanita berusia 26 tahun dari Kampung Belukar Gorek, Wakaf Tapai, di sini.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Myvi dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang gagal mengelak motosikal mangsa yang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang berhampiran Masjid Durian Guling.

“Disebabkan jarak dua kenderaan terbabit terlalu dekat, wanita terbabit hanya sempat membrek tetapi gagal mengelak sebelum kenderaan dipandu terlanggar mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat,” katanya menambah kes disiasat mengikuti Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sumber: METRO HARIAN