GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) komited dalam usaha menyerahkan pengurusan ladang kepada 2,140 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di daerah ini malah sehingga kini seramai 1,391 peneroka telah menerima manafaat ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata,daripada keseluruhan 11,275 hektar ladang peneroka, sebanyak 5,630 hektar telah berjaya diserahkan sepenuhnya merangkumi kawasan RKT Chalil, RKT Paloh 3, RKT Renok Baru dan RKT Meranto.
Katanya, usaha penyerahan pengurusan ladang ini akan diteruskan pada tahun ini iaitu sebanyak 148 lot peneroka yang melibatkan kawasan RKT Paloh 1, RKT Lebir, RKT Sungai Asap, RKT Jeram Tekoh dan selebihnya dijangka akan diserahkan secara berperingkat sehingga 2027.
“Sehingga kini, peneroka berjaya menguruskan sendiri ladang masing-masing dan mampu meraih pendapatan dari RM3,000 hingga RM5,000 sebulan bergantung kepada harga semasa komoditi sawit.
“Bagaimanapun, KESEDAR masih berperanan dalam memantau pengurusan ladang peneroka melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO). Kita berharap agar usaha ini dapat membantu peneroka dalam meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Gimik Penyerahan Ladang Peneroka menerusi Program Walkabout KKDW di Dewan KESEDAR Dato’ Ariffin Said, di sini, ketika lawatan baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan merangkap Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Dato Zamri Ismail, ALP dan juga ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff serta Pengurus Besar KESEDAR, Dr Shahrir Mohammad Zakey.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 kepada 39 penjawat KESEDAR dari pelbagai gred yang terpilih.
Sementara itu, ketua peneroka RKT Paloh 1, Mohd Napi Mat Nasir berkata, penyerahan ladang ini adalah bukti bahawa KESEDAR sentiasa berusaha memastikan golongan peneroka mendapat manafaat yang sewajarnya.
“Saya mewakili seluruh peneroka RKT Paloh 1 mengucapkan jutaan terima kasih kepada KESEDAR kerana sentiasa cakna, bertanggungjawab dan prihatin dalammemastikan pengurusan ladang kami dalam keadaan yang terbaik.
Ketua peneroka RKT Sungai Asap, Mohd Zailani Mohd Noor, berkata, kemudahan infrastruktur dan kursus pengurusan ladang yang disediakan KESEDAR sebelum ini berjaya meningkatkan kefahaman serta pendapatan kami dalam menguruskan ladang sendiri.
“Terima kasih KESEDAR kerana kemudahan yang disediakan sebelum penyerahan ladang dapat meningkatkan hasil pendapatan dan kerja-kerja pengurusan ladang sentiasa berjalan lancar,” katanya lagi.
– UNIT BERITA MANIS FM