18 Mangsa Banjir Berpindah ke PPS di Bera

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seramai 18 mangsa banjir membabitkan lapan keluarga, dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Bera, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, mereka ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kemayan selepas kawasan kediaman dinaiki air mulai kira-kira jam 2 pagi susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Sementara itu, data dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air Sungai Keratong di Jambatan Baharu Keratong, Rompin, melepasi tahap amaran setakat jam 8 pagi tadi.

Sungai yang mencatat paras air melepasi tahap waspada pula ialah Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Triang, Bera; dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera.

Sumber : BERITA HARIAN