Terengganu Sedia Kuatkuasakan Etika Pemakaian Patuh Syariah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri Terengganu sedia menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini bagi mengangkat martabat kaum wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian mencolok mata hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan daerah di negeri ini.

“Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan.

“Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi ‘Ops Bonceng’ pada Januari yang lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan ‘Terengganu Hijab Day’ di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din.

Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.

“Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.

“Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah,” ujarnya lagi.

– UNIT BERITA MANIS FM