Safawi, Cools Menyerlah di Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Dua pemain Harimau Malaya yang beraksi di Thailand memperagakan aksi cemerlang selepas masing-masing berjaya membantu pasukan yang diwakili mara ke separuh akhir Piala Liga Thailand.

Penyerang kebangsaan yang beraksi bersama Ratchaburi FC, Safawi Rasid berjaya mencuri tumpuan apabila terbabit dalam gerakan yang menghasilkan gol kemenangan buat pasukannya pada aksi derbi berdepan Samut Songkram di Stadium Mitr Phol, malam tadi.

Pemain yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membuat umpanan untuk gol Kritsananon Srisuwan pada minit ke-52 sekali gus menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 1-0 menerusi gol sendiri Park Jun Heong pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Anon Amornlertsak mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-38.

Sementara itu, pemain berdarah kacukan, Dion Cools pula memastikan gawang Buriram United ‘kebal’ selepas pasukannya itu menundukkan Bangkok United 3-0 di Stadium Thammasat.

Bekas pemain FC Midtjylland itu beraksi penuh buat Buriram United yang terus berada pada landasan tepat dalam mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada edisi lalu, sekali gus memburu kejuaraan buat kali ketujuh.

Pada aksi terbabit, Buriram United meledak gol pembukaan pada minit ke-30 menerusi pemain kebangsaan Thailand, Suphanat Muenta sebelum Haris Vuckic meledak gol kedua pada minit ke-50.

Hasrat tuan rumah untuk kembali dalam perlawanan tidak kesampaian apabila Buriram United terus selesa dengan gol ketiga menerusi penyudah Goran Cousic pada minit ke-77.

– BERITA HARIAN