MACHANG: Seorang jurugambar menarik nafas lega apabila 50 jenis anggur yang diusahakan di sebuah kebun di Kampung Batu 31, di sini tumbuh subur dan berbuah lebat.
Nur Taufiq Yusuf, 33, berkata, peringkat awal dia hanya menanam empat jenis anggur iaitu Jupiter, Black Ozark, Alfonso Lavalle dan Banana sebagai eksperimen.
Menurutnya, melihat kepada kejayaan eksperimen itu dia memberanikan diri dengan mencuba beberapa tanaman anggur dari jenis lain.
“Sehingga kini terdapat lebih 50 jenis anggur antaranya Dickson, Faith, Vales dan banyak lagi sudah ditanam. Saya mula berjinak dengan tanaman tersebut pada September 2021 selepas terkesan dengan penularan Covid-19 yang melanda seluruh negara ketika itu.
“Hal ini kerana ketika itu saya berdepan kesukaran untuk mencari rezeki semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Situasi itu menyebabkan kamera terpaksa disimpan dengan rapi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Nur Taufiq memberitahu, cuaca panas di negara ini baik untuk proses tumbesaran anggur dan situasi itu sekali gus menangkis dakwaan mengatakan tanaman tersebut sesuai di kawasan sejuk.
Katanya, sebelum ini ramai yang menjadikan tanaman itu sebagai hiasan di halaman rumah dan jualan anak pokok sahaja.
“Saya memilih untuk membuka kebun anggur secara serius selepas melihat potensi tanaman ini. Insya-Allah anggur yang saya tanam ini akan dapat dituai pada April ini.
“Pada masa sama, saya turut merancang
untuk membuka kebun ini kepada orang ramai yang ingin melihat pokok dan buah
anggur secara lebih dekat,” katanya.
Nur Taufiq berkata, selain itu dia turut menjual anak pokok anggur dengan harga
sekitar RM80 hingga RM150.
Sumber: UTUSAN